Diriwayatkan oleh Ibn
Kathir dalam kitab Al-Bidayah Wan-Nihayah bahawa al-Baihaqi menceritakan
daripada Abu Mansur Ahmad bin Ali Ad-Damghaniy dari daerah Namin di
Baihaq,dalam sebuah kisah yang disampaikan daripada Umar ra.
"Rasulullah SAW sedang
berjalan bersama dengan sekumpulan para sahabat,tiba-tiba datang seorang
Arab Badwi daripada Bani Sulaim ke hadapan Rasulullah. Beliau membawa
bersamanya seekor biawak padang pasir (dhab) yang ditangkapnya dan
bercadang untuk membakar haiwan itu untuk dimakan. Melihat ramai yang
berjalan itu,beliau tertarik untuk mendekati dan bertanya siapakah
gerangan yang sedang mereka iringi.
Apabila diberitahu
bahawa mereka sedang mengiringi Nabi maka dia terus mendekati Nabi
lantas berkata "Demi tuhan Lata dan Uzza, tiadalah sesuatu yang terdapat
di alam ini yang lebih kubenci daripadamu wahai Muhammad! Kalaulah
tidak kerana kaumku memanggilku dengan panggilan yang tergesa-gesa,
tentulah aku sudah memenggal kepalamu lalu aku dapat menggembirakan
hatiku dan hati semua manusia yang berkulit hitam,putih dan merah serta
selainnya.!”
Umar Al-Khattab menjadi
marah, lalu bangkit dan berkata “Wahai Nabi! Biarlah saya mengakhiri
hidupnya!” Nabi SAW tenang menjawab permintaan Umar : “Wahai Umar!
Tidakkah egkau tahu bahawa orang yang lemah lembut itu hampir diangkat
menjadi Nabi?”
Nabi kemudiannya berkata
kepada Arab Badwi itu “Apa yang menyebabkan engkau berkata demikian?
Sepatutnya engkau menghormatiku dalam perhimpunan bersama sahabatku!”
Arab Badwi tersebut
tidak mengalah bahkan sebaliknya berkata “Demi tuhan Lata dan Uzza! Aku
takkan beriman kepadamu hai Muhammad hinggalah biawak ini beriman
kepadamu,” katanya sambil mengeluarkan biawak itu lalu melemparkannya ke
hadapan Nabi SAW.
Nabi SAW memanggil
biawak itu. Kedengaran biawak itu menjawab dalam Bahasa Arab yang fasih
dan difahami oleh semua yang hadir “Ya wahai Nabi SAW.” Nabi bertanya;
“Kepada siapakah engkau beriman?”. Jawab biawak itu; “Saya beriman
kepada tuhan yang di langit itu a’rasyNnya, di bumi itu kekuasaanNnya,
dan di lautan itu jalanNya dan di syurga itu rahmatNnya dan dalam neraka
itu azabNya!”
Tanya Nabi lagi; “Aku
ini siapa wahai biawak?”. Jawab si biawak; “Tuan adalah utusan Allah,
yang memiliki sekelian alam! Amatlah beruntung orang yang mendokong
perjuangan tuan, dan binasalah orang yang mendustakan tuan!” Mendengar
kata-kata biawak itu, Arab Badwi itu lantas berkata; “Wahai Muhammad!
Sebelum ini engkau merupakan orang yang paling aku benci, tetapi hari
ini engkau adalah orang yang paling aku kasihi berbanding dengan bapaku,
diriku sendiri, engkau amatku kasihi zahirku dan batinku.
” Kemudian beliau
mengucapkan kalimah syahadah di hadapan semua yang hadir. Pengajaran
yang boleh kita ambil daripada kisah ini ialah contohilah akhlak
Rasulullah SAW dalam menegakkan syiar Islam iaitu dengan cara yang
berhemah dan tutur kata yang lemah lembut. Dengan tindakan demikian
orang-orang yang belum beriman akan tertarik untuk beriman.
Selain itu kita dapat
lihat bagaimana seekor biawak (dhab) telah beriman kepada Allah SWT
bahkan menyokong perjuangan Nabi SAW. Manakala manusia yang telah
dianugerahkan akal ramai yang masih lagi tidak beriman kepada Allah SWT.
Bahkan masih ramai yang menidakkan perjuangan untuk mendaulatkan
syariat Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW.
Sekurang-kurangnya
malulah kepada seekor binatang yang bernama biawak ini wahai manusia
yang menolak dan mendustakan perjuangan Rasulullah SAW.
Kredit untuk: detikislam.blogspot.my